Thursday, 29 December 2011

Trend Wanita Bertudung: Fesyen @ Syariat?


Bertemu kembali di ruangan Sahabat Pena.. Kali ini saya ingin berkongsi tentang "Trend Wanita Bertudung: Fesyen @ Syariat" yang sekarang di anggap remeh oleh sesetangah pihak. Persoalan di sini, adakah ianya menepati syariat Islam?? Tanyalah pada diri kita masing-masing. Pada hari ini ramai yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Apa tidaknya, memakai tudung hanya trend dan fesyen. Mungkin ada sesetengah pihak mengambil ringan akan perkara sebegini. Mereka beranggapan sekadar tutup kepala sudahlah. Dah dikira pakai tudung. Ada juga yang kata: "ala..tak apa fesyen". Bagi orang yang bertanggapan sebegitu sebenarnya dia adalah orang yang jahil. Kalau tengok di pasaraya-pasaraya, ada yang pakai tudung elok tetapi bawah terbuka. Ada pula yang pakai tudung, tapi bawah baju ketat dan singkat sampai nampak pusat. Ada yang pakai tudung, tetapi lengan pendek. MasyaAllah..Inikah yang dikatakan mengikut syariat? Bila fikir-fikir balik, sedih rasa tengok keadaan macam ini. Inilah fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. 


Dulu masa saya belajar di Terengganu, lain pula ragamnya. Ada yang bila pergi kuliah, alim, sopan, pakai tudung semua, tapi bila keluar dari kampus tudung entah ke mana. Depan keluarga pun ada setengah tu elok saja pakai tudung, tapi bila jauh dari pandangan keluarga tudung pun sudah tak ada dah atas kepala. Mungkin inilah yang dikatakan kejutan budaya. Bila jadi macam ini, orang akan salahkan ibu bapa yang tidak mendidik anak mereka. Tapi bagi saya, tidak semuanya berpunca dari ibu bapa. Ada ibu bapa yang didik anak mereka dengan didikan agama semua lengkap pun alih-alih tengok anak itu pun sedemikian rupa. Sebenarnya diri seseorang itu sendiri perlu pandai jaga dan pelihara di samping perlu kepada keimanan yang kukuh untuk membenteng diri dari pengaruh-pengaruh luar. 
    
Sekarang ini pula, pemakaian tudung menjadi satu trend dikalangan masyarakat, artis-artis di luar sana. Ada sesetengahnya pakai tudung bukan kerana 'SYARIAT' yang dituntut dalam agama, tapi kerana mengejar publisiti atau dengan kata lain untuk 'GLAMOUR'. Kalau dilihat dalam dunia artis ni, bila seorang pakai tudung dan mendapat perhatian media dan masyarakat, lepas tu nanti akan ada orang yang akan ikut serta. Tapi harap-haraplah yang pakai tudung tu betul-betul istiqamah dengan niat untuk berubah dan kerana syariat agama juga bukan untuk kejar nama dan pangkat semata-mata. 


Kalau dilihat cara wanita bertudung sekarang, memang bingung kadang-kadang bila difikirkan apakah tujuan mereka bertudung? Kadang-kadang itu wanita bertudung kerana ingin mengikut fesyen. Malah boleh nampak ada antara wanita yang memakai tudung masih nampak telinga. Ada juga yang menampakkan subang untuk lebih bergaya. Bukan itu sahaja, tudung pula sudah semakin pendek dan tidak menutup dada. Adakah ini cara memakai tudung yang betul? Sudah tentu tidak!

  
Adakah tudung begini menepati syariat?

    
~Contoh tudung tidak mengikut syariat~


Nabi kita Muhammad SAW telah memperingatkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu.
"Di akhir zaman akan berlaku di kalangan umatku wanita yang berpakaian seperti telanjang. Atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana wanita yang dilaknat".

Dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai syariat bertudung ini yang mana telah disebut dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

".....dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka".


Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita dan keluarga kita agar apa yang kita lakukan sentiasa mendapat keberkatan. Bukan mamakai tudung hanya untuk berfesyen atau ikut trend semasa, tetapi biarlah mengikut syariat agama yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Banyak hikmah disebalik kita bertudung ini yang mana salah satunya ialah untuk menutup pintu fitnah yang berpunca dari keinginan diri manusia dan juga untuk mengelakkan maksiat mata. Jadi, sama-samalah kita menjaga maruah diri kita.
'Secantik-cantik wanita ialah wanita yang pandai menjaga akhlak dan maruah dirinya dari fitnah dunia'



No comments:

Post a Comment